11 Februari 2024 - Pengetahuan dan kemahiran dalam dunia digital boleh dimulai dengan mempelajari perkara-perkara asas digital seperti bagaimana sesebuah sistem berfungsi, tindak balas input dan output serta tindak balas komputer terhadap arahan yang diberikan. Banyak cara sebenarnya yang boleh dijadikan sebagai laluan permulaan kepada mereka yang ingin mempelajari tentang dunia digital.
Salah satu cabang pengetahuan dan kemahiran dalam dunia digital adalah pemikiran komputasi. Apa maksud pemikiran komputasi? Secara ringkasnya, ianya merujuk kepada satu corak pemikiran untuk menyelesaikan sesuatu dalam bentuk tertib atau susunan yang boleh difahami. Ianya juga dapat ditafsirkan dalam pelbagai bentuk dan bidang.
Analoginya, apabila seorang chef ingin memasak sesuatu menu (di jadikan sebagai objektif yang ingin diselesaikan), maka chef akan memasak mengikut resepi atau langkah-langkah tertentu secara tertib. Tertib tersebut pula boleh diubahsuai mengikut kesesuaian dan pengalaman chef.
Dalam bidang digital pula, pemikiran komputasi ini sangat dekat dikaitkan dengan istilah seperti protokol, langkah, prosedur, sistem, spesifikasi, dan juga algoritma.
Jika dikaitkan pula dengan kepelbagaian laluan kerjaya, tidak dapat tidak, memahami konsep pemikiran komputasi boleh dikatakan akan menjadi kemahiran asas pada zaman akan datang, seperti mana langkah yang diambil oleh negara maju.
Bersempena dengan usaha untuk memperluaskan konsep pemikiran komputasi, kefahaman asas sains komputer dan juga kecelikan IT dalam kalangan generasi muda, maka program Jom Belajar Asas Coding Hour of Code telahpun diadakan pada 11 Februari 2024. Program ini telahpun disertai seramai 18 orang peserta berusia 10 tahun - 15 tahun.
Antara pengisian program ini adalah mempelajari tentang konsep pemikiran komputasi melalui pengaturcaraan (coding) menggunakan platform Scratch. Program ini juga adalah berdasarkan tema "HOUR OF CODE" iaitu sebuah inisiatif daripada Code.org - sebuah platform pembangunan pengetahuan & kemahiran Sains Komputer antarabangsa.
Anda boleh baca lebih lanjut lagi berkenaan dengan Hour of Code di sini.
Berikut adalah contoh paparan pembelajaran yang diikuti oleh para peserta.
Paparan di atas adalah merupakan muka pengguna platform Scratch, ianya mempunyai blok-blok arahan yang mewakili kod arahan yang boleh disusun. Kod arahan tersebut pula boleh dihubungkan dengan tindak balas daripada karakter yang sedia ada.
Antara contoh tugasan yang perlu dibuat oleh para peserta adalah mengaturcara karater-karakter kartun tersebut untuk bertindak balas dengan input.
Sebagai contoh lanjut:
Dalam coding di atas, peserta mengaturcara karakter bernama "Jessica" untuk berinteraksi dengan input seperti "Mula" dan juga "Mouse Clicked".
Pada akhir aktiviti, kesemua karakter tersebut diaturcara untuk mempunyai tindak balas tersendiri apabila sesuatu input diaktifkan. Keseluruhan tindak balas tersebut sudah tentu diaturcara dengan mengaplikasikan kefahaman tentang susunan arahan yang betul dan tepat terhadap setiap karakter tersebut.
Ditambahkan lagi dengan kefahaman tentang konsep tindak balas melalui "input-output", maka para peserta telahpun didedahkan dengan salah satu cara pembelajaran yang menyeronokkan dalam memahami Asas Sains Komputer.
Sebagai rumusan, pengetahuan dan kemahiran pemikiran komputasi dapat digarap dalam kalangan generasi muda dengan pelbagai cara yang menyeronokkan. Dalam konteks dunia digital, aktiviti pengaturcaraan yang menyeronokkan seperti menggunakan platfrom Scratch ini sudah tentu menjadi salah satu pilihan terbaik untuk merangsang minat dan kefahaman mereka dalam Sains Komputer. Akhirnya, generasi muda diharapkan akan dapat membina "keyakinan digital" yang menjadi kekuatan dan dorongan untuk mereka lebih yakin meneroka bidang-bidang Sains Komputer yang lebih jauh.
Rujukan info program di sini: https://binakeyakinandigital.com/semua-program/program-istimewa/jom-belajar-asas-coding-hoc-11-februari-2024