27 Februari 2024 - Robotik adalah salah satu bidang teknologi yang kian banyak digunakan dalam kehidupan seharian. Berasal daripada salah satu cabang bidang automasi, robotik merupakan satu cabang teknologi yang menggabungkan pengetahuan mekanikal, sistem pengawal dan juga komponen elektronik seperti sensor pengesan. Robot yang lebih kompleks mungkin mempunyai elemen yang lebih banyak lagi. Adapun begitu, tidak dinafikan penggunaan robot dalam kehidupan manusia telah dapat mengurangkan beban pekerjaan terutamanya yang bersifat berulang.
Dalam program Bengkel Coding & Robotik Edisi Cybercamp Februari 2024, peserta telahpun berpeluang untuk melibatkan diri mereka dalam mempelajari asas memberikan arahan kepada robot. Antaranya seperti bagaimana untuk mengeluarkan output lampu, pergerakan menggunakan motor dan tayar serta menggunakan sensor pengesan jarak untuk mengelakkan halangan di hadapan.
Program ini telahpun diadakan di Terengganu Digital 1303 (TD1303), Kuala Terengganu pada 20 Februari dan 27 Februari 2024. Peserta pula terdiri daripada kalangan murid sekolah rendah berusia 10-15 tahun, yang telah mendaftarkan diri mereka untuk mengikuti program ini sebagai pengisian kepada tempoh cuti sekolah yang sedang dilalui.
Dalam bengkel robotik ini, pelbagai pengalaman telahpun dilalui oleh para peserta seperti kerja berpasukan, cabaran untuk menyelesaikan masalah, menggunakan kreativiti untuk menyelesaikan masalah serta yang paling penting adalah berkomunikasi dengan efektif dengan rakan sepasukan untuk mendapatkan penyelesaian dan pengaturcaraan robot yang betul dan tepat.
Sudah tentu, pengalaman yang berharga dan unik semasa mengikuti program ini akan memberikan inspirasi kepada para peserta dalam menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran digital teknologi Industri 4.0.
Untuk pengetahuan para pembaca juga, peserta telah menggunakan kit robotik Zoom:bit. Kit ini menggunakan mikropengawal micro:bit sebagai "otak" untuk mengawal robot tersebut.
Micro:bit digunakan secara meluas di banyak negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat sebagai salah satu bahan pembelajaran pemikiran komputasi. Menggunakan micro:bit juga, kita dapat mencipta pelbagai lagi inovasi elektronik yang menarik yang pasti mengujakan murid-murid.
Program ini berlangsung selama 1 hari penuh dan antara pengisian penting dalam program ini adalah memahami konsep pengaturcaraan, mengaturcara robot untuk bergerak, memaparkan signal dan juga mengesan jarak menggunakan sensor ultrasonik. Peserta juga digalakkan untuk mencuba kombinasi pengaturcaraan mereka sendiri untuk menghasilkan output atau tindakbalas robotik yang unik dan menyeronokkan seperti robot yang menari, menyanyi dan sebagainya lagi.
Akhir kata, diharapkan agar para peserta program telahpun dapat menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran robotik seterusnya meningkatkan keyakinan digital masing-masing untuk menempa langkah yang lebih jauh dalam bidang teknologi kelak.
Rujukan info program di sini: https://binakeyakinandigital.com/semua-program/program-istimewa/cybercamp-feb-mac-2024