13 Februari 2024 - Semua sedia maklum, pada zaman ledakan maklumat ini, laman web merupakan sebuah tempat rujukan yang utama dan paling pantas dalam mendapatkan maklumat. Pelbagai maklumat yang boleh didapati daripada maklumat tentang berita semasa, cuaca setempat, pasar jualan, produk dan perkhidmatan perniagaan, dan sebagainya lagi.
Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana sesebuah laman web dicipta?
Program kali ini membawakan para peserta untuk mempelajari asas pembangunan laman web menggunakan kaedah yang sohor kini iaitu menggunakan Canva. Buat mereka yang belum pernah menggunakan Canva, ianya merupakan satu platform dalam talian yang membolehkan pengguna menghasilkan pelbagai karya grafik seperti poster, video dan kad ucapan.
Canva begitu fleksibel dan mudah digunakan sehinggakan pada masa kini, ianya popular digunakan dalam kalangan pereka grafik yang ingin menghasilkan sesuatu rekabentuk grafik dalam tempoh masa singkat sahaja.
Tambahan lagi, salah satu fungsi Canva adalah ianya juga boleh digunakan untuk mencipta Laman Web.
Laman Web yang boleh dihasilkan oleh Canva biasanya adalah bertemakan "Landing Page" iaitu sebuah format laman web yang memfokuskan kepada penyampaian info yang jelas dan ringkas kepada para pelayar web. Format ini popular digunakan untuk tujuan pemasaran produk dan perkhidmatan.
Contoh laman web berbentuk landing page:
Dalam program ini, para peserta telahpun mengikuti aktiviti yang menggunakan Canva untuk mencipta landing page profil diri mereka. Landing page ini pula memaparkan permainan video kegemaran mereka seperti Minecraft, Roblox dan sebagainya.
Dengan menggunakan kelebihan Canva yang mempunyai banyak aset grafik sedia ada yang boleh digunakan dalam membina visual laman web yang menarik, sudah tentu banyak gaya seni yang akan diwujukan, sementelah sekiranya kita mempunyai kreativiti dan imaginasi yang tinggi.
Canva mampu menterjemahkan idea dan imaginasi kita ke dalam bentuk visual yang boleh dilihat, diubahsuai serta disuaikan dengan apa yang kita kehendaki.
Arakian, peserta yang mempunyai kreativiti dan pengisian idea yang unik dan kreatif, mampu untuk mencipta laman web yang unik dan interaktif serta mengandungi mesej-mesej yang menarik dan bermanfaat menggunakan Canva.
Seterusnya, diharapkan para peserta telahpun mempunyai serba sedikit ilmu yang boleh meningkatkan keyakinan digital mereka dalam berkecimpung dalam kesenian digital, menterjemahkan idea dari minda kedalam bentuk visual dan grafik yang menarik.
Rujukan info program di sini: https://binakeyakinandigital.com/semua-program/program-istimewa/cybercamp-feb-mac-2024